Para pembaca budiman

Wednesday, October 28, 2009

Minyak oh minyak ...

Salam,

*Aiya ... makin berlubanglah poket mak, nyahh*

_______________________________________________________

Petrol tanpa subsidi 2010

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 27 Okt. - Bermula tahun depan, rakyat dan pelancong asing perlu membayar harga petrol pada harga sebenar tanpa subsidi kecuali kumpulan sasar berpendapatan rendah.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (gambar) berkata, kajian mekanisme pelaksanaannya yang memasuki peringkat akhir akan diumumkan di antara suku pertama dan kedua tahun depan.

Menurutnya, kerajaan perlu melakukannya memandangkan sistem subsidi sedia ada kurang adil, tidak telus dan gagal memanfaatkan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

"Kajian sedang dibuat dan akan diumumkan kelak, sistem baru ini akan lebih menguntungkan rakyat kerana sistem lama menyebabkan objektif utama subsidi untuk membantu rakyat tersasar jauh hingga menyebabkan produktiviti ekonomi kita juga terjejas.

"Sistem subsidi sepatutnya hanya untuk kumpulan sasar iaitu rakyat berpendapatan rendah tetapi dalam sistem lama semua orang dapat termasuk rakyat Singapura, Thailand, pelancong dan golongan berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2009 anjuran bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kesatuan Pegawai-Pegawai Hasil Dalam Negeri (IROU) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan) LHDN, Che Omar A. Rahaman dan Presiden IROU, Abu Samah Abu Bakar.

Ahmad Husni berkata, melalui pelaksanaan mekanisme baru ini, ia diyakini mampu memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat yang benar-benar layak mendapatkannya.

"Kerajaan berpeluang menjimatkan perbelanjaan (melalui pemberian subsidi), lebihan itu boleh kita gunakan untuk aktiviti pembangunan lain yang lebih produktif.

"Petrol akan dijual pada harga pasaran tetapi kumpulan sasar mendapat subsidi, maknanya kumpulan lain membeli petrol pada harga semasa," katanya yang enggan mendedahkan mekanisme yang akan diperkenalkan kelak.

Dalam pada itu, mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sama ada akan diumumkan atau sebaliknya oleh kerajaan, Ahmad Husni berkata, kajian terperinci daripada semua aspek sedang dijalankan.

Katanya, kajian peringkat akhir itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara dan juga Kabinet tetapi kerajaan masih belum memutuskan sama ada akan melaksanakannya atau tidak.

"Ini kerana kerajaan mahu apabila dilaksanakan, ia akan memanfaatkan rakyat bukan sebaliknya, sebab itulah kita mahu kajian terperinci daripada pelbagai aspek.

"Jika dilaksanakan juga kerajaan memberi jaminan ia tidak membebankan rakyat, antara mekanisme cadangan ialah pengecualian cukai barangan penting dan rebat bagi yang berpendapatan rendah," katanya.

Jelas beliau, GST bukan sistem cukai baru tetapi ia lebih kepada nilai tambah kepada sistem cukai sedia ada yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sekarang yang dikenakan pada kadar di antara lima dan 10 peratus.

___________________________________________________
Apa komen anda???



Image Hosted by ImageShack.us
P/s - Tak sabar nak menunggu sambungan kisah terbaru ini ....

2 Pendapat:

Blog Widget by LinkWithin